Tuesday, 20 December 2011

Kegagalan kempen ”Belilah Barangan Buatan Malaysia”

Kempen `Belilah Barangan Buatan Malaysia” bukanlah perkara baru di negara kita. Kempen ini dibuat secara besar-besaran oleh pihak kerajaan mahupun pihak swasta. Namun, hasil yang diperoleh tidaklah membanggakan. Hal ini demikian kerana masih ramai di kalangan masyarakat yang seakan-akan tidak mengendahkan kempen tersebut.
Salah satu punca masyarakat lebih mengutamakan barang import adalah kerana masyarakat lebih yakin terhadap kualiti barang import. Masyarakat kita mendewa-dewakan harang import kerana menganggap penggunaan barang import dapat memperlihatkan gaya iidup yang tinggi. Hal ini membuatkan barang tempatan dipandang rendah dan masyarakat menganggap akan berlaku suatu pembaziran sekiranya mereka membeli barang keluaran  tempatan.
Punca kedua berkaitan dengan aspek status. Masyarakat negara kita yang berkedudukan tinggi gemar menggunakan barang import dengan tujuan untuk memperlihatkan kedudukan mereka itu kepada rakan-rakan dan pihak-pihak tertentu. Tidak kira sama ada mereka berbelanja di dalam negara atau di luar negara, mereka lebih mengutamakan barang import. Mereka akan berasa puas hati sekiranya dapat menggunakan barang import yang lebih mahal harganya. Mereka menganggap semua ini dapat menunjukkan suatu status yang tinggi dalam masyarakat.
Kedudukan kewangan atau kuasa beli turut mempengaruhi minat masyarakat terhadap barang tempatan. Golongan kaya atau mewah gemar akan barang import sesuai dengan kedudukan ekonomi mereka. Mereka juga memandang rendah terhadap barangan tempatan yang dianggap tidak bermutu, rendah taraf dan boleh menjejaskan kedudukan ekonomi atau status mereka dalam masyarakat.
Kesan mendewa-dewakan barang import telah membimbangkan pelbagai pihak, terutamanya kerajaan yang znemandang sikap ini boleh membawa kepada pengaliran keluar wang negara walaupun barang yang dibeli itu murah.
Antara langkah yang boleh dibuat adalah dengan memperluas lagi kempen supaya masyarakat dapat memahami kedudukan sebenar akibat daripada sikap mementingkan barang import. Selama ini, kempen itu tidak dibuat secara meluas dan hanya mengikut musim sahaja. Kempen ini boleh dibuat menerusi media massa. Kempen mengenai faedah membeli barang tempatan, mutu barang tempatan dan sebagainya perlu ditingkatkan supaya masyarakat lebih yakin dengan barang tempatan.
Di samping itu, cukai bagi barang import perlu dinaikkan supaya harga barang tersebut menjadi lebih mahal dan hal ini akan dapat mengalihkan minat masyarakat tempatan terhadap barang tempatan. Apabila cukai sesuatu barang dinaikkan, dengan sendirinya harga barang itu akan meningkat dan pembeli terpaksa mengeluarkan wang yang lebih untuk mendapatkannya.
Satu langkah lain yang boleh diambil adalah dengan memberi galakan kepada industri tempatan yang mengeluarkan barang tempatan. Galakan ini boleh dibuat melalui pinjaman kewangan dan khidmat nasihat supaya industri yang mengusahakan barang tempatan ini boleh berjalan dengan lancar dan barang keluaran mereka juga bermutu dan diyakini.
Kesimpulannya, dengan membeli barang buatan tempatan, kita akan dapat membantu mengukuhkan ekonomi negara kita sendiri. Rakyat tempatan bukannya tidak dibenarkan untuk membeli barang import, tetapi adalah lebih baik kita mementingkan barang tempatan.

0 comments :

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost